Sunday, December 13, 2009

Wasiat Terakhir Assyahid Hassan al-Banna

Dalam edisi tanggal 8 Rabiul Akhir (16 februari 1951) majalah Al-Mahabits telah menyiarkan risalah terakhir Imam Hassan Al-Banna yang ditujukan kepada seluruh anggota Ikhwanul Muslimin. Walaupun usia risalah terakhir ini sudah mendekati 29 tahun (tulisan ini diterbitkan pada 1978) namun pembaca akan merasakan bahawa segala pesanannya, relevannya dan persoalan yang terkandung dalam risalah tersebut seakan-akan ditulis berkenaan dengan keadaan negeri Arab dan Dunia Islam ketika ini. Politik Barat sama juga tidak banyak mengalami sebarang perubahan. Demikian juga dengan gaya politik Moscow dan Zionis. Yang berubah hanya luaran sahaja. Sementara cakar dan taring orang-orang Yahudi terus menanti tanpa disembunyi-sembunyikan lagi. Risalah ini menjelaskan akan kefahaman Imam al-Banna terhadap perkembangan situasi dan keadaan semasa berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasul yang tepat untuk dimuat pada setiap zaman.

Imam Hassan al-Banna antara lain mengatakan:

Saudara-saudara sekalian anggota Ikhwan, saya sampaikan salam sejahtera kepada anda sekalian atas limpahan taufik dan rahmatNya kepada anda sekalian kerana kurniaNya yang secara khusus dianugerahkanNya kepada anda sekalian berupa sifat ketabahan dan membela kebenaran, betapapun beratnya tentangan dan panjang waktunya yang harus anda tempoh. Penghargaan saya yang tinggi atas keistimewaan yang anda miliki dalam mengembangkan dakwah yang berbeda dengan gerakan lain. Juga, terimalah rasa simpati saya atas kebesaran hati anda sekalian dalam menghadapi segala ujian dan cubaan yang berat yang anda hadapi pada saat ini.

Ingatlah, bahawa anda semua adalah kubu terakhir yang harus mempertahankan kalimah Allah dan risalahnya melawan segalah serangan dan gempuran fahaman materialisme yang zalim, dengan seluruh cita-cita dan sifat ketamakkan mereka. Anda merupakan benteng terakhir yang harus mengawal syari’at dan ayat-ayatNya serta terus mengajak umat manusia yang terbiar dalam jurang kebingungan untuk menuju jalan yang lurus. Dengan ini, anda adalah penyeru-penyeru dakwah yang paling terhormat yang sedang menempuh jalan yang paling suci.

Ayyuhal Ikhwan, dunia saat ini dikepong oleh dua negara berkuasa: Komunis Rusia dan Demokratik Amerika Syarikat. Sesiapapun tidak akan merasa nikmat ketenangan dan kedamaian jika bergabung dan berkompromi dengan salah satu kuasa ini. Sedangkan, di tangan anda sekalian terletak ubat yang mujarab yang diramuan khas dari wahyu langit yang mampu mengatasi krisis ini. Lantaran itu kita wajib menyampaikan hakikat yang kita sedang miliki (risalah Allah), lalu mengajak mereka untuk bergabung dengan jalan kita yakni Islam dengan kekuatan tenaga kita.

Tidak menjadi soal ketika ini kita tidak memiliki Negara atau apa-apa pendukung, sebab kekuatan itu terletak kepada kebenaran seruan kita, pada jiwa dan kalbu kaum Mukminin, pada keperluan dunia terhadap kebenaran ini, dan pada tanggungjawab (amanah) yang diberikan oleh Allah SWT manakala Ia melaksanakan kehendak dan kekuasaanNya.

Bilangan 400,000,000 kaum Muslimin yang sedang menghuni wilayah dari Laut Tengah hingga Lautan Pasifik sampai kini masih berada di bawah tapak kaki kaum penjajah yang sekian lamanya telah menimpakan berbagai bencana dan kerosakan dan membuat mereka (umat Muslim) alpa dan lalai terhadap perkembangan dunia internasional. Pada sudut dunia manapun di mana terdapat seorang Muslim yang melafazkan “la Ilaha illallah, Muhammadar Rasulullah” adalah bahagian dari tanah air kita. Kita perlu menuntut kemerdekaan dari mereka serta berusaha dengan semaksima tenaga untuk membebaskannya dari cengkaman penjajah asing yang zalim itu. Kita perjuangkan kemerdekaannya dengan berjuang melalui apa yang kita miliki. Tanah air ini yang terbentang dari ujung Timur sampai ujung Barat wajib merasai nikmat kemerdekaan, persatuan dan perdamaian dalam ikatan, sistem dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh al-Quran al-Karim dan di dalamnya adanya aqidah, sistem dan syari’at yang telah digariskan oleh Islam.

Nasib kita amat baik bahawa kita hidup dalam era Yahudi Internasional bermaharalela sebagai musuh seluruh Dunia Islam yang sedang mengempur dan membakar tempat suci mereka. Kita perlu hadapi tentangan mereka dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan menyediakan bekalan untuk kita bagi menghadapi permusuhan itu dan mencapai kemenangannya.

Ayyuhal Ikhwan, di kala mana sebahagian besar dari pemimpin bangsa dan dunia Islam yang merupakan alumni (bekas pelajar) sekolah-sekolah penjajah yang telah mensia-siakan peluang dan kesempatan yang diberikan oleh perang tahun lalu, yakni Perang 1948, sikap mereka hanya mengikut telunjuk penjajah telah menimbulkan masalah kemiskinan, ketakutan, hilang percaya diri, terampas kekayaan, hingga timbulnya pertentangan, kebencian dan perpecahan umat hingga lari dari medan jihad. Maka adalah menjadi kewajipan anda sekalian yang memiliki keimanan kepada Allah, yang menyakini dukungan dan pertolonganNya – untuk menyedari akan kelalaian kita selama ini, serta mempersiapkan diri dengan segala sesuatu yang kita perlukan untuk perjuangan kita. Allah akan beserta anda. Dialah yang memiliki kekuatan yang boleh melumatkan musuh-mush anda dan orang-orang yang berani melawan Allah dan kekuasaannya.”Allah berkuasa memenangkan urusanNya tetapi sebahagian manusia tidak mengetahui”.

Allah SWT telah memberikan keistimewaan kepada anda untuk bergabung dalam dakwah ini kerana itu peliharalah keistimewaan yang dipercayakan kepada anda sekalian dengan berusaha menegakkan syi’arnya di tengah-tengah umat manusia. Perbaikilah perilaku dan amal anda anda sekalian serta beristiqamahlah dalam melaksanakan titah perintahNya. Laksanakan amar makruf nahi mungkar serta sampaikan nasihat dan dakwah dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang kepada seluruh umat manusia. Persiapkanlah bekalan untuk berjuang dan berjihad; harta dan jiwa anda. Perbanyakkanlah mengkaji al-Quran, peliharalah solat berjamaah dan beramallah dengan penuh keikhlasan untuk agama Allah yang benar ini. Lepas itu, maka tunggulah pertolongan dan kemenangan dari Allah SWT.”Allah pasti menolong mereka yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Jaya”

Dan secara khusus saya berpesan kepada anda sekalian pada saat ini, hendaklah perjuangan kita ini suci dan bersih baik dalam hati maupun dalam fikiran, dalam ucapan dan perbuatan, dalam raga dan pakaian, dalam makanan dan minuman, dalam penampilan dan rumahtangga, dalam bergaul dan bersikap, dalam perkataan dan amal perbuatan.

Salah satu wasiat yang ditekankan oleh Rasulullah SAW adalah “Sucilah anda sekalian sehingga hal itu menjadi ciri khusus anda di tengah-tengah umat lain”.Alangkah indahnya ungkapan ini dan alangkah tinggi makna yang terkandung dalam ajaran agama kita yang meletakkan “Fasal Thaharah” dalam fiqh ibadah kita. Dalam satu hadithnya, Rasulullah SAW menyatakan “Kunci syurga adalah solat, sedangkan kunci solat adalah thaharah” Maha benar Allah yang berfirman: “ Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih”.

Rujukan: Pembunuhan Hasan al-Banna - Abdul Muta’al al-Jabari (ms 218 – 221 Penerbit Pustaka, Bandung) Cetakan 1 – 1986. Asal dari Limadza Ightayala al-Imam asy-Syahid Hasan Al-Banna 1978

No comments:

Post a Comment