Monday, December 14, 2009

Seorang Mukmin itu Takutkan Populariti

Takutkan populariti atau kemasyhuran yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang berkebolehan. Beliau yakin Allah terima sesuatu berdasarkan kebersihan jiwa, bukan zahir, jika seseorang itu masyhur di pelusuk dunia sekali pun, sedangkan niatnya bercampur baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna sekali pun.

Ibrahim bin Adham berkata: “Orang yang cintakan kemasyhuran tidak berlaku benar (sidiq) terhadap Allah Subhanahuwata’ala”

Salim bin Hanzalah pula berkata:“Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Ka’ab, Umar melihat kepada beliau, lalu memukul dengan tongkatnya. Ubai berkata: ‘Lihatlah wahai Amirulmukminin, apakah yang telah kamu lakukkan” Jawab Umar: ‘Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut”

Fudahil bin ‘Iyyadh berkata: “Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah Subhanahuwata’ala?”

Kata-kata di atas bukan bermakna kita diseru supaya mengasingkan diri dari masyarakat. Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia merupakan satu kesedaran dan kefahaman mendalam terhadap bahaya nafsu tersembunyi, dan berwaspada terhadap lubang dan pintu yang dapat dimasuki oleh syaitan ke dalam hati manusia dan merosakkan keikhlasannya.

Oleh sebab itu zuhud dalam masalah kedudukan, populariti, penampilan dan kemasyhuran lebih utama daripada zuhud dalam masalah harta, nafsu makan dan kemaluan.

Al-Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri berkata: “Kami tidak melihat zuhud dalam hal tertentu yang lebih rendah daripada zuhud dalam kedudukan (pangkat). Engkau melihat orang yang zuhud dalam masalah makanan, minuman dan harta. Namun jika kami bahagikan kedudukan, tentu mereka akan berebut dan mahu lebih banyak lagi”

Ibrahim bin Adham berkata: “Allah tidak membenarkan orang yang suka populariti”

Bisyr Al-Hafy berkata: “Tidak akan merasakan manis kehidupan akhirat orang yang suka terkenal di tengah manusia”

Kemasyhuran pada asalnya bukanlah suatu tercela. Tidak ada orang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulafa Ar Rasyidin. Tetapi yang tercela adalah mencari populariti, pangkat dan kedudukan. Tetapi jika kemasyhuran itu diperolehi bukan kerana usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya maka bukanlah menjadi kesalahan, walau pun ada keburukannya.

Inilah yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali: “Ia menjadi fitnah kepada orang lemah tetapi tidak kepada orang kuat”

No comments:

Post a Comment