Sunday, December 13, 2009

Perlu kembali kepada Pendidikan Islam

“Sesungguhnya Kami (Tuhan) telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami mengangkat mereka dari daratan dan lautan, dan Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami melebihkan mereka atas kebanyakan dari makhluk-makhluk yang Kami cipta dengan kelebihan yang sempurna.” (Surah Al-Isra:70)

Apa yang termuat dalam di sini adalah petikan dari hasil penulisan dari ulama-ulama muktabar yang telah memperlihat dan mempersaksikan jihad mereka di jalan Allah yang mulia ini. Antaranya termasuklah Professor Shaikh Abdullah Nasih Ulwan, AsSyahid Sayyid Qutb, Mustafa Masyur dan Muhammad Qutb.

Kata Abdullah Nasih Ulwan kitabnya Tarbiyatul Awlad Fil-Islam: “Adalah dengan kelebihan Agama Islam ke atas semua bangsa manusia, iaitu dia telah membawa suatu kurikulum yang menyeluruh, kukuh dalam hal pendidikan jiwa, membangun generasi, membentuk umat, menyuburkan kebudayaan, dan menanam asas-asas kehormatan dan tamadun. Semua itu bertujuan untuk memindahkan bangsa manusia yang sesat dari kegelapan syirik, jahiliah, kesesatan, huru-hara kepada sahaya tauhid, ilmu pengetahun, petunjuk dan ketenteraman jiwa. Sungguh benar firman Allah SWT dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah cahaya dan Kitab yang terang. Dengannya Tuhan telah memimpin siapa yang Dia mahu menurut keridhaanNya ke arah jalan pendamaian, dan Dia akan mengeluarkan mereka dengan izinNya dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan Dia akan memimpin mereka ke jalan lurus.” (S.Al-Maidah: 15-16)

Malah beliau juga menyebut tentang syariat Islam yang mendapat kemuliaan dan ketinggian sehingga musuh-musuh Islam sendiri telah menyaksikan tentang pertumbuhan Islam dan kewujudannya secara terus-menerus sehingga kini.

Antaranya termasuk ahli falsafah Inggeris, Dr. Bernard Shaw yang berkata: Sesungguhnya agama Muhamad itu harus diberikan sebaik-baik perhatian disebabkan kesuburannya yang luar biasa, dan sesungguhnya dia merupakan satu-satunya agama yang mempunyai kebolehan pengaruh bagi segala lapisan hidup yang berbeza-beza. Saya berpendapat adalah wajib kita mengelarkan Muhammad itu sebagai penyelamat bangsa manusia, dan sesungguhnya seseorang yang memiliki bakat sepertinya, apabila memegang kepimpinan alam moden ini, nescaya dia akan berjaya untuk memulihakan segala problem-problemnya…..”

Jika ini pandangan dari Barat, dan jika syariat Islam bersifat ketuhanan, terkenal dengan agama yang syamil, terkhusus dengan setiap perubahan dan bersifat berterusan, maka perlukah lagi satu pemikiran yang baru untuk mendidik ummah?

Mari kita lihat huraian Asyahid Sayyid Qutb dalam kitabnya Dirasaat Islamiyah: Muhammad bin Abdullah telah berjaya ketika baginda membentuk para sahabatnya,ridhwaanullaahi-alaihim, telah menjadi gambaran yang hidup dari keimanannya, ketika mereka maka, berjalan di pasar, dan di mana saja baginda membentuk dari tiap-tiap diri mereka menjadi seumpama sebuah Al-Quran yang berjalan dan merayap di atas muka bumi ini yang dapat dilihat oleh manusia kerana dengan melihatnya mereka akan melihat Islam yang benar.

Sebenarnya nas-nas semata-mata tidak dapat membuat sesuatu. Sebenarnya musyaf semata-mata tidak dapat melakukan apa-apa kecuali jika ia diadunkan, dimesrakan dan dicanaikan dalam diri seseorang……

Sebab itulah maka Muhammad SAW telah menjadikan matlamatnya yang utama ialah untuk MEMBENTUK MANUSIA-MANUSIA MISALI, bukan untuk menyampaikan nasihat saja; dan baginda mencatu dan membentuk tabiat-tabiat bukan dengan memperindahkan kata-kata, dan Baginda MEMBINA SUATU UMAT bukan mendirikan suatu falsafah……

Muhammad bin Abdullah SAW telah berjaya mencatu pemikiran Islam menjadi manusia-manusia dan menukarkan kepercayaan mereka dengan Islam menjadi AMALAN, baginda telah mencetak mushhaf (Al-Quran) berpuluh-puluh naskhah malah beratus-ratus dan beribu-ribu. Akan tetapi baginda tidak mencetaknya dengan tinta di atas lapisan kertas bahkan Baginda mencetaknya dengan Cahaya di atas lapisan-lapisan HATI…..

Barangsiapa yang ingin mengetahui tentang pendidikan generasi pertama para sahabat Rasulullah SAW, kemudian generasi kemudian sesudah mereka, maka hendakalah dia membaca sejarah supaya dia dapat mendengar sebanyak yang dia mahu dari kesan-kesan sejarah mereka dan kelebihan-kelebihan mereka yang mulia ini.

Adakah dunia telah mengenali yang lebih utama dan mulia selain darpada mereka; yang lebih pengasih dan penyayang; yang tinggi dan dan agung, yang berilmu dan beradab lebih dari mereka?

Semua generasi telah mencedok dari keutamaan mereka sehinggalah datang satu zaman di mana hukum Islam, peraturan Islam terpisah dari masyarakat, nilai-nilai kepimpinan dan khalifah dimusnahkan, umat menjadi lemah dan pemimpin tidak mengenal lagi arah tujuan kehidupan dan tanggungjawabnya. Musuh Islam sekali lagi bermahajaralela, merosak, memusnahkan, dan merobek pilar-pilar iman masyarakat Islam. Gambaran kelemahan ini berpaksikan kepada 3 sebab utama:

(a) kerana jahil tentang hakikat Islam
(b) kerana terlalu cintakan dunia dan takutkan mati
(c) kerana jahil tentang tujuan asal penciptaannya


Apakah tanggungjawab dan persiapan kita?

Menyedari akan hakikat ujian dan cabaran yang dihadapi, maka kita perlu melihat semula peranan kita sebagai murabbi, pendidik dan pemimpin. Kita perlu menyediakan kurikulum pendidikan yang asasnya kukuh di mana anak-anak dapat menerima dan membina ilmu, kefahaman dan pengalaman mentauhidkan kepada Allah SWT semata-mata. Cara yang berkesan ialah dengan adanya pendidik yang misali, bi’ah yang solehah serta manhaj pendidikan yang sesuai dengan tahap umur dan kemampuan anak-anak. Tanggungjawab yang paling besar ialah apabila kita merasai untuk memikul AMANAH untuk menyelamat Islam dan Umat Islam. Kita perlu bekerja secara AMAL JAMAIE kerana kekuatan bekerjasama dan berpadu tenaga akan diberkati oleh Allah SWT. Kita perlu ada perancangan yang rapi dan kita juga perlu menyediakan bilangan pendidik yang ramai dan berkualiti agar Syiar Islam dapat disebarkan seluasnya. Graduan-graduan universiti perlu didedahkan dengan asas-asas pendidikan Islam mereka akan menjadi ibubapa yang soleh, membentuk anak dan mendirikan masyarakat yang beriman.

Kita perlu merancang waktu agar keutamaan kepada pendidikan menjadi nilai dan budaya hidup kita. Setiap waktu dan masa itu amat berharga. Di dalam hal ini, Al Sheikh Mustaffa Mashur menjelaskan bahawa setiap waktu dan usaha yang dicurahkan untuk meletakkan asas sebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia dan tidak boleh dihentikan atas alasan ianya belum nampak sesuatu hasil di permukaan tanah,kerana bngunan yang besar memerlukan waktu yang banyak dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asas dan konkritnya.

Professor Syaikh Abdullah Nasih Ulwan berkata, “ Agama Islam itu adalah agama kehidupan, agama kemanusiaan, dan agama kesedaran, pendidikan dan perbaikan. Apabila umat manusia itu terpimpin dengan pimpinan Islam dan semua umat menghirup udaranya, serta semua Negara mencontohi dasar dan pensyariatannya, niscaya pada ketika itu keamanan akan tersebar di semua penjuru alam dan gambaran masyarakat utama (Islam) akan kelihatan di mana-mana oleh semua mata dengan jelas dan terang sekali.”

Kita perlu kembali kepada jalan yang sama. Tidak ada jalan dan alternatif lain. Menurut Professor Mohd Qutb, bahawa tiada jalan lain lagi melainkan jalan iman saja perlu diambil dalam rangka usaha membina kembali Ummah Islamiyah; jika dipermulaan Islam dahulu iman telah menjadi tenaga pembangunnya, maka iman juga yang harus menjadi tenaga pembangun Islam di zaman ini. !!!!!

No comments:

Post a Comment