Dalam kita menjalani kehidupan di dunia ini kita seharusnya berlumba-lumba untuk mendapatkan keampunan dan pahala yang banyak dari Allah Subhanahu Wata’ala sebagai bekalan di akhirat nanti. Walau bagaimanapun sebagai hamba Allah kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, sama ada kecil atau besar, sengaja atau pun tidak. Ini kerana sifat semula jadi manusia yang lemah dan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsunya. Tetapi itu bukanlah alasan bagi membolehkan berbuat dosa kerana orang yang beriman setentunya taat kepada perintah Allah Subhanahu Wata’ala dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan tidak akan mudah kalah oleh hawa nafsu, sebaliknya berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 133, tafsirnya :
“Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”.
Sebenarnya perkara dosa dan maksiat ini tidak boleh dipandang ringan kerana setiap perbuatan yang kita lakukan pasti akan mendapat balasan daripada Allah Subhanahu Wata’ala sama ada di dunia atau di akhirat. Dan ingatlah bahawa balasan dan kesan daripada dosa itu boleh saja Allah Subhanahu Wata’ala timpakan bila-bila masa dan tanpa kita sedari.
Adapun di antara kesan-kesan akibat dari perilaku dosa dan maksiat itu ialah,
Pertama : Menggelapkan hati kerana kegelapan dan kekerasan hati membuat manusia itu semakin jauh dari kebenaran dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala. Oleh itu hati perlu dijaga dan digilap selalu dengan zikir dan melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata’ala serta menjauhi larangan-Nya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
“Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin jika ia melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam”. (Riwayat Imam Ibnu Majah).
Kesan yang kedua pula ialah terhalang dari mendapat rezeki. Perkara ini telah disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, maksudnya :
“Dari Sayuba ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Tiada yang dapat menambah umur kecuali amal kebajikan. Dan tiada suatu yang dapat menolak takdir kecuali doa. Dan sesungguhnya seorang itu diharamkan rezeki baginya disebabkan dosa yang diperbuatnya”.
Adapun kesan yang ketiga pula ialah hawa nafsu akan menguasai diri. Bila hawa nafsu telah menguasai diri manusia, sudah setentunya mereka tidak akan dapat menilai tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Mereka juga akan terus hanyut dibuai keseronokan yang akhirnya membawa padah yang buruk dan mendapat kemurkaan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Jaatsiyah, ayat 23 tafsirnya :
“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu wahai Muhammad terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya : Tuhan yang dipatuhinya dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah menjadikan dia berkeadaan demikian? Oleh itu, mengapa kamu wahai orang-orang yang ingkar tidak mahu beringat dan berinsaf?”.
Kesan yang keempat pula ialah mendapat azab dari Allah Subhanahu Wata’ala. Setiap pelaku dosa atau maksiat perlu menyedari bahawa dosa dan maksiat yang dilakukan akan mendapat kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Asy Syuura ayat 30, tafsirnya :
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan atau bala bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu”.
Dari kesan-kesan dosa dan maksiat yang dijelaskan tadi, apakah tidak timbul kesedaran di dalam diri kita untuk menginsafi segala perbuatan dosa dan maksiat yang telah kita lakukan. Apa yang penting ialah kita hendaklah sentiasa muhasabah diri, bertaubat, berdoa dan seterusnya berazam untuk kembali ke jalan yang benar dan lurus serta diredai Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga dengan demikian, Allah Subhanahu Wata’ala Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang akan sentiasa melimpahkan rahmat dan belas kasihan-Nya kepada kita semua sehingga dengannya kita dapat hidup aman bahagia di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An Nuur, ayat 31 tafsirnya :
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya”.
No comments:
Post a Comment