Thursday, May 13, 2010

IBN TAIMIYAH




(Seorang ulama’ dan mujahid di medan jihad)


Abad ke-13 M merupakan period ujian besar bagi umat dalam sejarah Islam. Dunia muslim belum lagi pulih daripada kesan Perang Salib yang panjang itu, bencana yang lebih buruk datang pula melanda.
Suku Monggol menyerbu negara muslim, memusnahkan kekayaan intelektual dan peradaban yang terhimpun selama berabad-abad pemerintahan muslim, dan membunuh jutaan kaum muslimin. Baghdad sebagai kota intelektual dan peradaban Islam, ditawan oleh Hulaku Khan, sang Monggol pada 1258 M. Seluruh warisan peradaban dan intelektual kota itu dibakar menjadi abu, atau dicampakkan ke Sungai Tigris.
Pada kurun yang mencabar ini lahir Ibn Taimiyah, seorang pemikir Islam yang berpengaruh besar terhadap dunia pemikiran Islam. Beliau ialah pemikir bebas dan penganut kemerdekaan hati nurani. Beliau meskipun dipertikaikan oleh sebagian tertentu umat, namun beliau dimuliakan oleh semua pihak. Karyanya dan contoh tauladan hidupnya menjadi sumber ilham bagi setiap orang. Beliau adalah pahlawan yang hidupnya diuji dengan kesengsaraan, godaan, dukacita dan penderitaan. Beliau telah mempersembahkan hidupnya demi kebaikan din, kebenaran dan membela hati nurani manusia.
Ibn Taimiyah lahir di Harra. Pada masa mudanya, kehidupan masyarakatnya diancam oleh suku Monggol. Beliau berhijrah bersama orang tuanya di Damaskus pada 1268 M. Ketika itu usia beliau hampir enam tahun. Kecerdasan beliau luar biasa, pemikirannya tajam dan ingatannya kuat. Pada usia muda Ibn Taimiyah telah menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk fiqh, rasional, teologi, logik dan falsafah. Karena itu beliau berpengaruh dan berperanan penting di kalangan rakan sebayanya. Keilmuannya dibantu oleh ayahnya, ilmuwan utama fiqh Hanbali. Beliau juga mempelajari ajaran Zain al-Din Ahmad al-Muqaddasi.
Pada 1282 M, apabila ayahnya meninggal dunia, Ibn Taimiyah menggantikan kedudukan ayahnya sebagai mudir fiqh Hanbali dan memangku jawatan ini selama 17 tahun. Namun, cara berpikirannya yang bebas menimbulkan perselisihan dengan penganut fiqh Syafi'i sehingga jawatannya lepas dari tangannya.



Namun, pada waktu itu beliau telah terkenal di dunia Islam. Beliau ditugaskan berkhutbah untuk menegakkan jihad melawan suku Monggol yang menyerbu Suriah dan menakluk Damaskus. Khutbahnya telah menggembleng tenaga rakyat dan menggugah sultan Mesir, Sultan al-Nasir, untuk mengangkat senjata melawan orang-orang Monggol. Dalam peperangan yang dahsyat di Marj as-Safa, pada 1302 M, Ibn Taimiyah berjuang dengan gagah berani sehingga pasukan Monggol terusir dan menderita kerugian besar.
Sejak itu hingga ke akhir hayatnya, beliau berhadapan dengan ujian yang keras dan sengsara. Pandangan bebas beliau seolah-olah telah mengundang pelbagai ancaman dan kutukan kepada dirinya. Beliau telah menyarankan pelbagai pandangan dan pembaharuan pemikiran di pelbagai daerah, dan menimbulkan kemarahan para ketua. Pada 1307 M, beliau bersama dua saudaranya dipenjarakan selama empat tahun. Setelah bebas dari penjara, beliau diangkat menjadi guru besar di sekolah yang didirikan oleh Sultan Mesir.
Setelah tujuh tahun kemudian beliau diizinkan balik ke Damaskus. Beliau, diangkat kembali sebagai guru besar di jabatannya yang dulu. Tetapi, timbul pula perselisihan besar dengan Sultan, yang mengakibatkan beliau dikembalikan ke penjara selama beberapa bulan pada 1320 M.
Ibn Taimiyah memperjuangkan kebebasan daripada pemikiran jumud dan taqlid buta. Perjuangannya sering tidak cocok dengan muslim tradisi awam. Penentangannya terhadap amalan-amalan yang memuja ’orang suci’ dan para pengamalnya telah menimbulkan dendam di hati Sultan. Maka Ibn Taimiyah dikurung di benteng Damaskus pada 1326 M. Di situlah beliau tekun menulis tafsir al-Qur'an dan penulisan mengenai sejumlah persoalan pokok yang kontroversial pada masa itu. Beliau kembali ke rahmat Allah di penjara pada 1327 M. Berita kematiannya telah menyuramkan Damaskus. Sekitar 200,000 orang telah hadir di pemakamannya. Do'a di pemakamannya dipimpin oleh Ibn al-Wardi.
Ketokohan Ibn Taimiyah terletak pada jatidirinya dan kebebasannya berfikir berlandaskan sumber asal Islam iaitu al-Qur’an dan As-Sunnah. Beliau adalah antara mujtahid yang dilahirkan Islam yang bersungguh-sungguh menolak taqlid buta. Sebagai seorang penganut madzab Hanbali, beliau setia mengikuti Al-Qur'an dan As-Sunnah, tidak suka berkompromi dan seorang antropomorfis sejati seperti imamnya, Ahmad ibn Hambal.
Pada masa pemerintahan Abbasiyah, ilmu dan kesenian Yunani diterjemahkan ke bahasa Arab. Ibn Taimiyah berperanan menyesuaikannya dengan ajaran Islam di atas permintaan mereka yang baru memeluk Islam.
Antara jasanya yang besar kepada Islam ialah peringatannya kepada umat betapa perlunya mereka menyesuaikan diri dengan kesederhanaan dan kemurnian Islam yang asal, serta secara mutlak mengikuti Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Dasar-dasar yang diketengahkan oleh Ibn Taimiyah ialah:


1. Wahyu merupakan sumber pengetahuan din. Penalaran dan intuisi (ilham dan gerak hati) adalah sumber yang terbatas.

2. Ijma’ para ulama’ yang terpercaya selama tiga abad pertama Islam turut memberi pengertian penting terhadap asas pokok ajaran Islam, di samping Al-Qur'an dan As-Sunnah.

3. Hanya Al-Qur'an dan As-Sunnah pemandu yang berotoriti dan otentik dalam segala persoalan.


Ibn Taimiyah bersungguh-sungguh mencela dan menolak pengaruh asing yang korup yang mencemarkan kemurnian dan kesederhanaan Islam. Muhammad Ibn Abdul Wahhab, seorang pemikir besar abad ke-18, dan sekolah pembaharuan al-Manar di Mesir telah banyak mempelajari dari usaha-usaha yang telah diketengahkan oleh Ibn Taimiyah.
Ibn Taimiyah secara terang-terangan menolak orang-orang Islam yang terpengaruh dengan falsafah Yunani. Falsafah, katanya, menimbulkan kebimbangan dan menyebabkan perpecahan di kalangan umat. Beliau mengkritik keras apa yang dikemukakan oleh Ibn A’rabi mengenai kesatuan makhluk. Menurutnya, kesimpulan Ibn A’rabi dalam hal ini tidak sahaja bertentangan dengan ajaran Nabi, tetapi juga terhadap konsepsi ke-Esa-an Allah seperti yang termaktub di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Ibn Taimiyah merupakan tokoh yang terserlah dalam dunia Islam. Seorang pemikir bebas, yakin kepada keunggulan hati nurani individu dan ingin melihat kemuliaan Islam yang sejati tertegak. Beliau mengecam semua pencemaran dan pengaruh asing yang masuk ke dalam Islam. Beliau nekad dan tidak berhenti daripada perjuangannya hinggalah ke akhir hayat, meskipun menghadapi pelbagai ujian zahir batin seperti dianiaya, dicaci, dipukul dan dipenjarakan.

Sumber: Seratus Muslim Terkemuka, Jamil Ahmad (Arsip Profil/Tokoh)

No comments:

Post a Comment